Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – ikuti perkembangan harian prosiding mahkamah di sini.
MALAYSIA

Wanita pandu Mini Cooper langgar lima kenderaan akibat tertekan pedal minyak

Bernama 16/10/2025 | 08:37 MYT
Foto kejadian sebuah kereta Mini Cooper yang terbabas dan melanggar lima kenderaan lain di Jalan Kuning, Taman Pelangi yang tular di media sosial. -Gambar Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Akibat tertekan pedal minyak ketika ingin memasuki persimpangan Jalan Kuning, Taman Pelangi, di sini pagi tadi, seorang ejen insurans yang memandu kereta Mini Cooper terbabas dan melanggar lima kenderaan lain.


Ringkasan AI
  • Seorang ejen insurans wanita berumur 49 tahun tersilap tekan pedal minyak lalu terbabas dan melanggar lima kenderaan di persimpangan Jalan Kuning, Taman Pelangi, Johor Bahru.
  • Tiada kecederaan dilaporkan, wanita itu bebas pengaruh alkohol dan kes disiasat di bawah Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 10 (1) LN 166/59.
  • Video kejadian tular di media sosial, saksi menyifatkan kereta Mini Cooper itu seolah-olah "terbang", dan proses pembersihan selesai sekitar pukul 10.30 pagi.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 9.14 pagi ketika wanita berumur 49 tahun itu memandu dari arah Jalan Pingai.

"Semasa hendak sampai ke persimpangan jalan, wanita itu tersilap menekan pedal minyak sehingga terbabas dan melanggar lima kenderaan yang diletakkan di lot kedai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan wanita itu negatif daripada pengaruh alkohol serta kes disiasat mengikut Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 10 (1) LN 166/59.

Terdahulu, tular video berdurasi satu minit di media sosial yang memaparkan beberapa buah kereta rosak dengan kereta Mini Cooper itu berada di atas sebuah lagi kenderaan.

Sementara itu, saksi kejadian rata-rata terkejut menyaksikan detik cemas itu yang memperlihatkan kenderaan itu seolah-olah "terbang" sebelum terbabas dan melanggar deretan kenderaan yang parkir di kawasan itu.

Peniaga pisang goreng R. William, 60, berkata dia melihat kereta itu dipandu laju dari arah Jalan Pingai sebelum tiba-tiba "terbang" dan melanggar kenderaan lain serta terdengar bunyi dentuman yang kuat akibat perlanggaran itu.

"Di sini banyak kedai makan, tetapi semasa kejadian ada kedai yang belum beroperasi, jika tidak mungkin kemalangan ini akan jadi lebih buruk," katanya kepada Bernama di sekitar lokasi kejadian dan menambah proses mengalihkan kenderaan terlibat oleh pihak berkuasa selesai kira-kira pukul 10.30 pagi.

Pekerja swasta Samantha Ooi, 32, pula tergamam melihat kejadian itu, namun bersyukur tiada yang cedera mahupun terkorban dalam insiden terbabit.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian tengah hari tadi mendapati serpihan kaca kenderaan berselerakan di sepanjang laluan berkenaan.

-- BERNAMA



#ejen insurans #silap tekan pedal minyak #langgar lima kenderaan #persimpangan Jalan Kuning Taman Pelangi