NATIONAL

Wanita perlu sedia belajar semula, tingkatkan akses kepada teknologi - CEO UOB Malaysia

Yasmin Natasha 25/05/2025 | 11:19 MYT
Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN yang menyaksikan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bertindak selaku moderator, menghimpunkan tokoh-tokoh wanita berpengaruh dari pelbagai sektor di rantau ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Dalam dunia yang semakin didorong teknologi dan perubahan pantas, pemimpin wanita perlu bersedia meninggalkan zon selesa, bersikap tangkas serta tahan diuji.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, walaupun niat dan semangat yang tinggi penting dalam kepimpinan, ia belum mencukupi jika tidak disertai keupayaan untuk beradaptasi dan bertahan dalam situasi mencabar.

“Saya telah belajar bahawa untuk berjaya sebagai pemimpin hari ini, anda perlu ada ketangkasan dan ketahanan. Ketangkasan bukan sekadar kemampuan untuk berubah, tetapi juga keupayaan untuk meninggalkan zon selesa dan bersedia untuk belajar semula walaupun ia tidak selesa,” katanya dalam sesi panel yang menyaksikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bertindak selaku moderator.

Sesi itu merupakan sebahagian daripada Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN yang menghimpunkan tokoh-tokoh wanita berpengaruh dari pelbagai sektor di rantau ini, bagi membincangkan cabaran dan peluang dalam membina masa depan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.

Anggota panel yang turut serta dalam sidang kemuncak hari ini ialah Menteri Perdagangan dari Kemboja, Cham Nimul dan Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia, Dyah Roro Esti Widya Putri.

Dalam perbincangan mengenai digitalisasi dan masa depan ekonomi yang dipacu kecerdasan buatan (AI), Ng berkata, peranan wanita dalam bidang ini semakin penting tetapi mereka perlu diberikan akses yang sama rata kepada pembiayaan, ilmu digital, dan peluang perniagaan.

“Ramai usahawan wanita berdepan halangan tambahan yang bersifat budaya dan peribadi. Akses kepada kewangan, pengetahuan tentang digital, dan sokongan komuniti sangat penting untuk bantu mereka berkembang,” katanya.

Menurut beliau, UOB Malaysia telah melancarkan pelbagai inisiatif untuk menyokong wanita dalam ekonomi digital. Antaranya termasuk program FitLab, yang membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memulakan transformasi digital, dan program khusus untuk usahawan wanita yang kini telah memanfaatkan lebih 1,200 individu di Malaysia dan Singapura.

“Kami bukan sekadar memberi akses kepada dana atau teknologi, tapi kami juga membina ekosistem – satu rangkaian sokongan di mana wanita boleh belajar antara satu sama lain dan membina jangkauan perniagaan yang lebih luas,” tambah beliau.

Dalam menjawab soalan mengenai bagaimana menyeimbangkan nilai tradisional dengan kemodenan, Wei Wei berkongsi kisah peribadinya sebagai pemimpin wanita Asia yang menerajui bank asing terbesar di negara ini.

“Sebagai anak Asia, saya dibesarkan dengan nilai kerja keras dan tujuan hidup. Tapi sebagai pemimpin hari ini, saya juga perlu membawa perubahan dan memastikan institusi ini terus relevan,” katanya.

Beliau turut menyeru golongan wanita muda agar berani melangkah ke hadapan dan menetapkan haluan sendiri untuk membina masa depan yang lebih saksama dan progresif.







#ASEAN #wanita #sidang kemuncak #ekonomi #ASEAN2025