MALAYSIA

Wanita sedang bersarapan maut dirempuh kereta warga emas diserang 'strok'

Adie Sufian Zulkefli 28/04/2025 | 07:47 MYT
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius. - Foto PDRM
SUNGAI PETANI: Seorang wanita warga emas maut apabila dilanggar sebuah kereta terbabas lalu merempuh mangsa yang sedang bersarapan pagi di sebuah kedai di Simpang Tiga Jalan Taman Bersatu, di sini pada Isnin.


Ringkasan AI
  • Kemalangan berlaku apabila pemandu kereta Produa Alza, seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun, mengalami strok ringan dan hilang kawalan, menyebabkan kereta terbabas ke dalam kedai makan.
  • Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius, manakala pemandu mengalami kecederaan di dada dan kaki, dan kini menerima rawatan di hospital.
  • Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, dengan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat.


Mangsa, Han Chin Ting, 55, yang beralamat di Gelugor, Pulau Pinang meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan di lengan kanan dan kiri, kaki kanan dan kiri, serta muka dan kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian jam 9 pagi mangsa sedang makan di kedai terbabit.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta jenis Produa Alza yang dipandu seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun diserang ‘minor stroke’ (strok ringan) menyebabkan dia hilang kawalan lalu terbabas memasuki kedai makan dan melanggar yang sedang makan di meja.

“Akibat kemalangan, mangsa terperosok di hadapan kereta dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

Pemandu mengalami kecederaan di dada dan kaki, dan kini menerima rawatan di hospital. - Foto PDRM


Wan Azharuddin berkata, pemandu kereta mengalami di bahagian dada dan kaki.

Katanya, mayat mangsa di hantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.

Manakala pemandu yang berasal dari Taman Bersatu di sini, yang juga peniaga turut dihantar ke Jabatan Kecemasan hospital sama untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.





#wanita maut #sedang bersarapan #kereta terbabas #Sungai Petani