Wanita terkejut dengar bunyi biawak mengawan pada waktu Subuh

Adie Sufian Zulkefli
Jun 8, 2020 05:14 MYT
Anggota-anggota Angkatan Pertahanan Awam menunjukkan tiga ekor biawak yang ditangkap mereka di sebuah kediaman di Kampung Padang Nyior, Padang Sanai, Padang Serai, Kedah pada Isnin. - Gambar APM
Seorang wanita yang terjaga dari tidur untuk menunaikan solat Subuh terkejut apabila terdengar bunyi bising yang cukup aneh dari bahagian siling rumahnya.
Bimbang perkara buruk berlaku, dia yang menetap di Kampung Padang Nyior, Padang Sanai, di sini bertindak menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Tindakan pantas APM melakukan pemeriksaan di siling kediaman itu membawa kepada penemuan biawak sedang mengawan.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6 pagi dan sepasukan anggota dikejarkan ke rumah pengadu.
Katanya, ketiga-tiga ekor biawak itu bertindak agresif dan cuba menyerang anggota APM sewaktu cuba menangkap mereka.
Mohd Shukri berkata, anggotanya mengambil masa kira-kira 40 minit untik menangkap biawak-biawak berkenaan kerana berada di kawasan yang sukar selain faktor keselamatan anggota terbabit.
Beliau berkata, ketiga-tiga ekor biawak sepanjang satu meter dengan berat 12 kilogram itu berjaya ditangkap dan dibawa ke pejabat APM Padang Terap untuk tindakan lanjut.
#angkatan pertahanan awam #biawak mengawan #bunyi bising #Kampung Padang Nyior #Padang Sanai #Padang Serai #siling rumah