Wanita tidak mengaku bersalah curi tabung masjid

Adie Sufian Zulkefli
September 2, 2021 05:49 MYT
Nur Amira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri wang tunai bernilai RM40 dari tabung Masjid Sirajudin pada 28 Ogos lalu. - Foto Astro AWANI
KANGAR: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kangar hari ini atas pertuduhan mencuri wang tunai bernilai RM40 dari tabung sebuah masjid Ogos lalu.
Tertuduh, Nor Amira Roslan, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Kamaliza Md Zain.
Dia yang bekerja sebagai tukang cuci didakwa mencuri wang tunai dari tabung Masjid Sirajudin kira-kira pukul 8.45 malam pada 28 Ogos lalu.

Perbuatan itu berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM2,000.
Peguam mewakili tertuduh, Nur Iman Nor Azmi, merayu jaminan diringankan dengan alasan tertuduh yang mempunyai pendapatan yang tidak tetap, terdesak dan selain mempunyai masalah rumahtangga dan tinggal berasingan dengan suami.
Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan tertuduh dengan mengekalkan jaminan RM2,000 terbabit.
Mahkamah menetapkan 4 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
#curi tabung masjid #wanita mengaku tidak bersalah #Masjid Sirajudin #Kangar Perlis