KUALA LUMPUR: Wanita yang tidak merokok mungkin berisiko mendapat kanser paru-paru, kata pakar bedah kardiotoraks Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Anand Sachithanandan.

Beliau berkata, majoriti kes masih melibatkan perokok lelaki, namun bilangan bukan perokok yang kebanyakannya wanita, terus meningkat.

"Dari 2012 hingga 2016, terdapat 7,686 kes dalam kalangan lelaki dengan kadar piawai umur (ASR) 13.2 bagi setiap 100,000 penduduk. Bagi tempoh sama, sebanyak 3,570 kes direkodkan dengan ASR 5.9 bagi setiap 100,000 penduduk wanita," katanya kepada Bernama di pusat perubatan itu, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, kanser paru-paru merupakan punca kematian paling lazim dalam kalangan lelaki dan pembunuh kedua bagi wanita, serta pencemaran udara dan pendedahan kepada asap rokok sekunder adalah penyebabnya ditambah dengan kecenderungan genetik.

"Pencemaran udara dan pendedahan kepada asap rokok sekunder dipercayai mewujudkan proses keradangan melalui pengutus kimia dipanggil interleukins yang mengaktifkan mutasi pemacu dorman atau gen penyebab kanser sedia ada seperti mutasi epidermal growth factor receptor (EGFR) pada sesetengah individu yang mudah terdedah, juga, mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser paru-paru merupakan faktor risiko yang ketara," katanya.

Bagaimanapun, Dr Anand berkata, pengambilan tembakau masih menjadi faktor risiko paling lazim dan boleh dicegah bagi kanser paru-paru dan terdapat bukti bahawa menghisap vape meningkatkan risiko merokok dengan ketara akibat ketagihan nikotin.

"Penyakit paru-paru kronik juga menyebabkan keradangan dan parut pada paru-paru dan kanser boleh timbul daripada tisu parut itu beberapa dekad kemudian. Kami tidak tahu kesan jangka panjang parut disebabkan jangkitan COVID-19 yang teruk pada paru-paru. Kurang lazim, ialah pendedahan kepada gas radon dan asbestos," katanya.

Beliau berkata, gejala biasa yang harus diperhatikan sebagai penunjuk kemungkinan kanser paru-paru termasuk jangkitan dada berulang, batuk yang berterusan, kesukaran bernafas, batuk berdarah (hemoptisis), sakit dada atau belakang dan penurunan berat badan yang sukar dijelaskan. Sementara itu, gejala yang kurang lazim antaranya sakit bahu atau kelopak mata terkulai.

"Kesemua gejala ini bergantung kepada saiz dan kedudukan tumor. Simptom seperti sakit belakang, dada atau tulang, penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan atau kesukaran bernafas merupakan petunjuk kepada kanser paru-paru yang lebih serius," katanya.

Bersempena dengan Hari Kanser Paru-Paru Sedunia yang jatuh pada 1 Ogos, Dr Anand yang juga Presiden dan Pengasas Bersama Persatuan Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (LCNM) berkongsi bahawa penyaringan adalah penting untuk mengesan kanser paru-paru peringkat awal, yang boleh dirawat dengan jayanya melalui pembedahan kuratif, kadangkala dengan pelbagai kombinasi imunoterapi, terapi sasaran, kemoterapi dan radioterapi.

"Kaedah terbaik pengesanan ialah imbasan tomografi terkira dos rendah (LDCT) yang tidak menyakitkan, tepat dan ujian pernafasan tunggal tanpa jarum. Bagaimanapun, AI (kecerdasan buatan) sedang diteroka untuk meningkatkan ketepatan diagnosis dan mungkin menjadi alat triage yang berguna. Ia sedang digunakan pada sinar X dada yang mudah kerana lebih murah, menjadikannya lebih mudah diakses dan ramai pengamal menggunakannya sebagai alat prasaringan.

"Jika perisian AI mengesan beberapa keabnormalan pada paru-paru, individu berkenaan boleh dirujuk kepada pakar di hospital awam atau swasta dengan segera untuk menjalani LDCT. Jadi, ia satu langkah awal dan kami harap dapat menarik penduduk wanita dan bukan perokok yang diabaikan secara tradisional," katanya.

Beliau turut menyarankan perokok dan bekas perokok berusia 45 hingga 75 tahun yang merokok sekurang-kurangnya sepeket sehari selama 20 tahun atau lebih, walaupun tanpa sebarang gejala dan mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser paru-paru, agar menjalani saringan.

"Matlamat saringan adalah untuk melakukan 'peralihan atau migrasi peringkat' dan mengambil lebih banyak kes pada peringkat awal apabila barah boleh dirawat dengan berkesan, kurang invasif dan lebih murah dengan hasil yang jauh lebih baik," katanya.

Dr Anand berkata, kebanyakan pesakit kanser paru-paru memerlukan pendekatan pelbagai disiplin, melibatkan kepakaran pelbagai pakar perubatan seperti pakar radiologi, doktor dada, pakar bedah toraks dan pakar onkologi, serta terapi pelbagai mod untuk menyediakan peluang terbaik penyembuhan dan kemandirian bebas penyakit jangka panjang.

Tambahan pula, beliau berkata, beberapa rawatan (neoadjuvant) diberikan sebelum pembedahan untuk mengurangkan saiz tumor atau menghapuskan sel-sel kanser dalam nodus limfa berdekatan, manakala terapi (adjuvant) lain diberikan selepas pembedahan untuk mencapai kawalan setempat atau menghapuskan penyakit mikroskopik dan mengurangkan kemungkinan kanser kembali.

"Rawatan yang ditawarkan dan prognosis sangat bergantung kepada peringkat penyakit. Peringkat 1, 2 dan kes peringkat 3a yang dipilih dengan teliti, kadangkala peringkat 3b paling baik dirawat menerusi pembedahan dalam kombinasi dengan terapi lain, dengan matlamat memperoleh kesembuhan.

"Peringkat 3c dan 4 biasanya dirawat tanpa pembedahan, dengan tujuan bukan kuratif, menumpukan kepada kualiti kehidupan dan memanjangkan kelangsungan hidup," katanya. - BERNAMA