Wanita Umno akan terus memperjuangkan penubuhan taman asuhan kanak-kanak (taska) di setiap jabatan kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negara ini.

Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Wanita Umno melihat isu itu sebagai kritikal dan perlu diberi perhatian serius jika kerajaan mahu memastikan golongan profesional wanita terus menyumbang dalam ekonomi negara.

"Negara akan kehilangan modal insan profesional wanita jika jabatan kerajaan dan GLC terus bersikap lepas tangan dalam menyediakan taska di tempat kerja," katanya kepada pemberita selepas melawat bayi Awal Muharam di Hospital Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menurut Shahrizat, penubuhan taska di tempat kerja juga mampu meningkatkan produktiviti golongan ibu yang bekerja.

"Kerajaan telah mengumumkan beberapa insentif kepada syarikat dan pengusaha taska dan saya harap mereka mengambil peluang ini untuk mewujudkan lebih banyak taska di tempat kerja," katanya.