KUALA LUMPUR: Lapan lelaki tempatan dan seorang wanita rakyat asing ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket keldai akaun bank yang melakukan aktiviti mengumpul kad ATM, mengeluarkan wang melalui mesin ATM dan pemindahan perbankan dalam talian.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan 22 hingga 50 tahun itu ditahan menerusi serbuan di sebuah premis di Lembah Klang, Rabu lepas.

Beliau berkata polis turut merampas 11 telefon bimbit pelbagai jenama, 14 keping kad ATM pelbagai bank, satu unit modem dan router, lima cop syarikat, enam keping kad sim, lapan keping senarai nama dan akaun, tiga keping slip kemasukan duit dan wang tunai pelbagai matawang bernilai RM1,649.

"Kumpulan sindiket ini berperanan membekalkan maklumat perbankan dan menyediakan urusan 'online banking' bagi akaun bank yang diperoleh daripada keldai akaun sebelum ia diserahkan kepada kumpulan sindiket yang lain.

"Wang hasil aktiviti itu akan dikeluarkan oleh ahli sindiket ini dan kemudian akan dihantar ke akaun yang diberikan oleh ahli sindiket melalui deposit tunai. Kesemua ahli sindiket ini menerima komisen sebanyak dua peratus daripada jumlah yang dikumpulkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Amihizam berkata kesemua mereka direman mulai semalam hingga 16 Julai bagi tindakan dan siasatan selanjutnya.

Beliau turut menasihati masyarakat supaya tidak mudah terperdaya dengan sebarang tawaran pulangan wang tunai untuk menyerahkan maklumat akaun dan kad ATM yang tidak jelas dengan menjanjikan tawaran yang terlalu menarik.

"Jangan mendedahkan data peribadi, nombor pin dan kata laluan atau maklumat perbankan kepada pihak ketiga atau mana-mana individu yang tidak dikenali.

"Selain itu, sila laporkan kepada National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 jika anda mempunyai maklumat berkenaan sindiket penipuan dan jika mengesyaki aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau balai polis yang berdekatan," katanya.

-- BERNAMA