Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Wanita warga China dihukum penjara sebulan, denda RM2,000 cederakan pegawai Imigresen

Bernama 18/08/2025 | 09:31 MYT
Fang dihukum penjara sebulan dan denda RM2,000 selepas mengaku bersalah mencederakan pegawai imigresen di KLIA Terminal 1. -Gambar hiasan
SEPANG: Seorang wanita warga China dihukum penjara sebulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan seorang pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.


Ringkasan AI
  • Wanita warga China dihukum penjara sebulan dan denda RM2,000 selepas mengaku bersalah mencederakan pegawai imigresen di KLIA Terminal 1.
  • Tertuduh bertindak agresif akibat salah faham dan masalah komunikasi, menyebabkan kecederaan kepada pegawai yang bertugas.
  • Mahkamah menjatuhkan hukuman berdasarkan kepentingan awam dan keselamatan penjawat awam, dengan penjara dua bulan jika gagal bayar denda.


Majistret Khairatul Animah Jelani membuat keputusan itu selepas Fang Fuyuan, 31, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, Fang didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang Pegawai Imigresen Nurdiana Atirah Shapinaz Abdul Rahman semasa beliau melaksanakan tugas rasminya sebagai seorang penjawat awam.

Kesalahan itu dilakukan di kaunter Imigresen, Aras 4, Balai Pelepasan KLIA Terminal 1 pada 8 malam, Rabu lepas.

Fang didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu telah diminta oleh rakan sekerja yang bertugas di kaunter imigresen untuk mengalihkan tertuduh dan tiga ahli keluarganya kerana didapati tidak mempunyai rekod kemasukan ke Malaysia, bagi memberikan laluan kepada penumpang Bangladesh yang berada di belakang tertuduh.

Ketika diarahkan untuk ke tepi, tertuduh telah bertindak agresif dengan meninggikan suara, menarik tudung pengadu dan menolak muka serta kepala pengadu ke tiang di hadapan kaunter.

Akibat tindakan itu, pengadu mengalami gegaran kepala, kecederaan pada bahagian kiri muka, pedih bawah mata dan bengkak kemerahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya V. Luvithaa sementara Fang diwakili Tai Ying Fung dan Jason Anthony.

Terdahulu, Tai memohon mahkamah mengenakan denda ke atas anak guamnya atas faktor pengakuan bersalah menjimatkan masa mahkamah dan kesalahan itu merupakan kesalahan pertama selain tertuduh juga telah insaf atas perbuatannya.

"Tertuduh masih muda, tiada rekod jenayah, mempunyai suami serta dua anak kecil berusia setahun setengah dan lima tahun yang bergantung penuh kepadanya. Mereka sekeluarga berada di Malaysia tanpa sokongan keluarga lain.

"Kejadian ini berpunca daripada salah faham dan masalah komunikasi dengan pegawai imigresen. Ia berlaku secara spontan dan bukan dirancang," katanya.

Luvithaa bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana mengambil kira kepentingan awam dan untuk menjamin keselamatan orang awam dan penjawat awam yang bertugas semasa kejadian.

Majistret Khairatul Animah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara satu bulan dari tarikh tangkap dan denda RM2,000, serta memerintahkan penjara dua bulan jika gagal membayarnya.

Khamis lepas, media melaporkan seorang wanita warga China ditahan selepas bertindak agresif dan mencederakan pegawai imigresen semasa pemeriksaan perlepasan di KLIA Terminal 1.

Wanita terbabit bersama seorang lelaki dan dua kanak-kanak hadir untuk pemeriksaan perlepasan imigresen apabila pegawai bertugas mendapati mereka tidak mempunyai rekod pergerakan masuk, lalu merujuk perkara itu kepada penyelia untuk semakan lanjut.

Wanita itu yang tidak berpuas hati apabila diminta memberi laluan kepada penumpang lain sementara semakan dibuat, memaki hamun pegawai dengan perkataan kesat, menarik tudung pegawai dan menolak kepalanya ke arah tiang di hadapan kaunter.

-- BERNAMA





#wanita warga China #cederakan pegawai imigresen #KLIA #Fang Fuyuan #Nurdiana Atirah Shapinaz Abdul Rahman