MALAYSIA

Wanita warga emas dijumpai lemas di perairan Stulang Laut

Bernama 21/09/2025 | 02:10 MYT
Polis Daerah Johor Bahru Selatan menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira pukul 9.10 malam selepas seorang saksi mendakwa melihat mangsa terjun ke laut secara tiba-tiba. - Tangkap layar media sosial
JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga emas berusia 73 tahun ditemukan lemas di perairan berhampiran Berjaya Waterfront, Stulang Laut di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.10 malam selepas seorang saksi mendakwa melihat mangsa terjun ke laut secara tiba-tiba.

"Bertindak atas maklumat, pasukan polis dari Balai Taman Pelangi bersama anggota bomba dari Balai Larkin digerakkan ke lokasi. Mayat mangsa berjaya dibawa naik ke darat pada pukul 9.30 malam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata pemeriksaan awal mendapati mangsa yang tidak bekerja itu lengkap berpakaian dan tiada sebarang kesan unsur jenayah ditemui pada jasadnya.

"Kematian mangsa disahkan pegawai perubatan Hospital Sultanah Aminah. Mayat dibawa ke Unit Forensik untuk bedah siasat setelah selesai proses X-ray dan ujian kesihatan. Waris terdekat juga telah dimaklumkan untuk proses pengecaman," katanya.

Beliau berkata kes itu diklasifikasikan sebagai Sudden Death Report (SDR).

-- BERNAMA


#warga emas #lemas #Stulang Laut #mayat wanita