BAGAN SERAI: Seorang wanita warga emas ditemui maut dalam keadaan separuh bogel dengan kesan potong serta tikaman pada telinga, leher dan pipi di sebuah rumah di Kampung Tersusun Lima, Kerian dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian menerima maklumat berkenaan kira-kira pada jam 6.45 petang.

Menurutnya, siasatan sepasukan anggota dan pegawai daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kerian menemukan mayat mangsa yang berusia 61 tahun terbaring dalam bilik tidurnya.

“Terdapat kesan darah pada bantal, tilam serta dinding. Terdapat juga kesan luka potong dan tikaman pada telinga, leher serta pipi mangsa.

“Selain itu, terdapat kesan lebam pada kedua-dua lengan mangsa dipercayai akibat pergelutan dengan suspek dalam usaha mempertahankan diri,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya lagi, suspek dipercayai memecah masuk ke rumah mangsa berdasarkan kepada kesan umpil pada tingkap dan tiga keping cermin yang ditanggalkan.

Namun katanya, polis mendapati tiada barang-barang berharga milik mangsa yang dilarikan suspek.

“Mayat mangsa telah dihantar ke unit forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk dibedah siasat dan punca kematian mangsa disebabkan luka tikaman pada bahagian leher.

“Pihak polis masih menyiasat motif sebenar kejadian dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.