MALAYSIA

Wanita warga Indonesia diselamatkan daripada eksplotasi buruh paksa di Shah Alam

Afiezy Azaman 20/12/2025 | 04:50 MYT
Polis menahan dua wanita tempatan, masing-masing berusia lewat 50-an dan awal 30-an, yang dipercayai majikan kepada kedua-dua mangsa berkenaan.
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan dua wanita warga Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang bagi tujuan eksploitasi buruh paksa dalam satu serbuan di Kayangan Heights, Shah Alam, pada Khamis lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol, serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada kira-kira jam 2.30 petang, hasil maklumat risikan yang diterima.

Katanya, hasil pemeriksaan di lokasi berkenaan membawa kepada penyelamatan dua mangsa masing-masing berusia 48 dan 33 tahun.

"Siasatan awal mendapati seorang mangsa telah bekerja selama dua tahun manakala seorang lagi bekerja kira-kira sebulan dengan majikan yang sama.

“Temu bual bersama mangsa mendapati mereka mendakwa telefon bimbit dan pasport telah dirampas oleh majikan, dipaksa bekerja lebih masa, sering dipukul serta tidak dibayar gaji sejak dua bulan lalu,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Susulan itu, polis menahan dua wanita tempatan, masing-masing berusia lewat 50-an dan awal 30-an, yang dipercayai majikan kepada kedua-dua mangsa berkenaan.

Beliau berkata, Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan permohonan reman terhadap kedua-dua suspek selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Disember ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak melebihi 20 tahun, selain boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, ASP Md Anuar Md Amilah @ Harun di talian 019-225 5597 bagi membantu siasatan.





#warga Indonesia #mangsa pemerdagangan orang #buruh paksa #Ramsay Embol