MALAYSIA

Wanita warga Myanmar maut dibunuh teman lelaki di Johor Bahru

Bernama 21/10/2025 | 04:35 MYT
Seorang wanita warga Myanmar maut dipercayai dibunuh teman lelaki dengan kesan tikaman dan kelar di badan, dalam kejadian di laluan hostel pekerja di Jalan Austin Heights 8/3, Johor Bahru, semalam. - Gambar IPD Johor Bahru Selatan
JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga Myanmar maut dipercayai dibunuh teman lelaki dengan kesan tikaman dan kelar di badan, dalam kejadian di laluan hostel pekerja di Jalan Austin Heights 8/3, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), ACP Raub Selamat berkata, mangsa berusia 33 tahun diserang teman lelakinya yang juga warga Myanmar sekitar 7.40 malam.

Beliau berkata, seorang wanita asing berusia 23 tahun dan lelaki tempatan 27 tahun yang merupakan saksi kejadian, turut mengalami kecederaan ketika cuba menghalang suspek daripada terus menyerang mangsa.

"Bagaimanapun, suspek dipercayai membunuh diri selepas kejadian dan (mayat) dijumpai di lokasi sama dengan sebilah pisau sepanjang 24 sentimeter," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengenal pasti identiti suspek berikutan tiada dokumen diri ditemukan dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Raub berkata, dua saksi terbabit sedang menerima rawatan lanjut dan bedah siasat mayat kedua-dua individu itu dilakukan di Hospital Sultan Ismail, di sini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah JBS di talian 07-2182323.

-- BERNAMA


#wanita Myanmar maut #dibunuh teman lelaki #suspek bunuh diri #laluan hostel pekerja