Wany Hasrita tamatkan zaman bujang
Faris Danial Razi
Julai 22, 2022 20:05 MYT
Julai 22, 2022 20:05 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas diasak mengenai tarikh perkahwinan selama bertahun-tahun, penyanyi, Wany Hasrita pada Jumaat akhirnya membuat pendedahan bahawa dia sah akan mendirikan rumah tangga.
Wany, 29 tahun, menerusi perkongsian di Instagramnya memberitahu, dia akan berkahwin dengan jejaka pilihan hatinya malam ini dan memohon agar peminatnya mendoakan yang baik-baik.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah, yang Maha Merancang tiap sesuatu di muka bumi ini. Wany, dengan rasa rendah hati, ingin memohon doa kalian semua untuk Wany menempuh kehidupan di fasa yang baru.
“Insya-Allah, Wany akan bernikah malam ini, jadi di kesempatan ini, Wany ingin mohon maaf andai Wany pernah menyakiti hati, terlanjur kata atau pernah mengecilkan hati anda semua.
“Maafkan kami, doakan kami,” kongsi penyanyi lagu Menahan Rindu yang memuat naik video poster kad perkahwinannya sambil mendedahkan nama bakal suaminya iaitu Al-Adib Fahmi.
Bagaimanapun, perkongsian yang menerima reaksi positif dari kalangan peminatnya itu tidak mendedahkan di mana lokasi penganjuran majlis akad nikah.
Sebelum ini, Wany yang merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Perubatan juga pernah secara spontan memberi petunjuk bahawa dia bakal mendirikan rumah tangga pada tahun ini.
Begitupun, Wany yang memenangi anugerah Video MeleTOP pada Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021) turut berharap peminat terus memberikan sokongan sekalipun sudah berkahwin.