Polis menahan lima lelaki warga Bangladesh yang disyaki terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen ujian saringan COVID-19 melibatkan warga asing di Jalan Tengkat Tong Shin, ibu negara, pada Selasa lepas.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, tangkapan itu dibuat hasil daripada penahanan dua suspek lelaki yang disyaki terlibat sindiket yang sama pada 6 Jun lepas.

"Kesemua suspek berusia lingkungan 26 hingga 30 tahun bekerja sebagai buruh binaan di sebuah syarikat pembinaan di Kuala Lumpur.

"Turut dirampas lima buah telefon bimbit pelbagai jenama dan satu salinan surat saringan COVID-19 yang bertulis Lablink Medical Laboratory," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, polis turut menerima tiga lagi laporan berhubung pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan COVID-19 pada 9 dan 10 Jun lepas.

Jelasnya, dalam ketiga-tiga kes tersebut pihak hospital dan makmal di sekitar Kuala Lumpur telah menerima panggilan dan e-mail daripada majikan yang ingin mendapatkan pengesahan laporan keputusan ujian saringan COVID-19.

"Namun, setelah semakan dibuat pihak hospital dan makmal mendapati nama pesakit dinyatakan dalam laporan keputusan ujian saringan COVID-19 tersebut tidak dapat dikesan dalam rekod berdaftar hospital dan makmal.

"Doktor yang membuat saringan tidak bertugas di hospital dan makmal seperti dalam laporan keputusan ujian saringan COVID-19 tersebut.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 468/471 Kanun Keseksaan (menggunakan dokumen palsu sebagai tulen) yang boleh dihukum penjara maksimum 7 tahun dan denda jika sabit kesalahan, Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 6(1)(C) Akta
Imigresen," jelasnya.

Tambah Mazlan, usaha mengesan suspek dan mereka yang terlibat dalam pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan COVID-19 ini sedang giat dijalankan oleh pihak polis.

Polis Kuala Lumpur, tegas beliau, memandang serius isu pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan COVID-19 ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyalahi undang-undang.

"Sikap tidak bertanggungjawab dan hanya mengutamakan keuntungan sebegini membahayakan orang ramai dan menjejaskan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Pihak majikan dinasihatkan supaya membuat semakan keputusan ujian saringan COVID-19 yang diserahkan oleh pekerja dengan pihak pengeluar laporan sebelum membuat sebarang keputusan untuk mengambil mereka bekerja.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau menghubungi mana–mana Balai Polis berdekatan.