MALAYSIA
Warga asing dikesan pandu kenderaan mewah guna lesen memandu palsu - JPJ

Muhammad Kifli (tengah) ketika sidang media Ops Luxury 3.0 di Depoh Sita JPJ Kuala Lumpur hari ini. Turut hadir Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Hamidi Adam (kiri) dan Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan (kanan). - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Ops Luxury 3.0 dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) yang berakhir semalam berjaya membongkar, antara lain tindakan seorang warga asing memandu kenderaan mewah menggunakan lesen memandu Malaysia yang dipercayai palsu.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan berkata lelaki itu antara sembilan warga asing yang dikesan memandu kenderaan mewah dengan pelbagai kesalahan, termasuk tiada cukai jalan dan insurans, sepanjang operasi berkenaan dijalankan sejak Khamis lepas.
"Kesalahan paling serius dikesan adalah memiliki lesen memandu Malaysia palsu oleh seorang warga asing dari negara Asia Selatan. JPJ akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti bagaimana lesen palsu itu diperoleh.
"Kita tidak menolak kemungkinan wujud sindiket pemalsuan dokumen itu dan siasatan menyeluruh dari pelbagai aspek akan dilakukan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini, sambil menambah bahawa kesemua sembilan warga asing berkenaan telah diberikan notis saman.Muhammad Kifli berkata JPJ akan mendapatkan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia dan agensi berkaitan bagi menyiasat kes berkenaan, selain menegaskan pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana individu termasuk warga asing yang ingkar undang-undang jalan raya.
Ops Luxury memberi tumpuan kepada kenderaan mewah yang melanggar peraturan jalan raya. Sepanjang operasi kali ini, sebanyak 104 kenderaan mewah yang dipandu warga tempatan dan asing, termasuk Ferrari, Range Rover, dan Porsche, telah disita atas pelbagai kesalahan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami