AMPANG: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki mencabul kehormatan rakan sekerjanya yang merupakan wanita warga tempatan di Taman Permata, dekat sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mangsa yang bekerja sebagai pembantu jualan berumur 32 tahun itu membuat laporan polis pada Khamis jam 4.45 petang berhubung kejadian.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 2.30 petang itu, suspek telah bertindak memeluk mangsa dari arah belakang sambil mengangkatnya selepas bertanyakan mengenai berat badan mangsa.

"Suspek juga bertindak mencium pipi dan meraba ke bahagian tubuh badan mangsa.

"Malah suspek juga cuba untuk mencium mulut mangsa.

"Suspek dan mangsa merupakan rakan sekerja.

"Kejadian berlaku di dalam premis pasar raya di bahagian stor simpanan sejuk beku," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Susulan itu, Mohd Azam berkata, pihak polis telah menahan suspek berusia 27 tahun yang juga pembantu jualan di Jalan Taman Permata, dekat sini.

Menurut beliau, hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah.

Katanya, permohonan reman ke atas suspek telah dibuat di Mahkamah Ampang dan dibenarkan selama empat hari bermula Sabtu hingga Selasa.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan.

Jelasnya, sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

"Pihak polis memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa-apa perbuatan pencabulan kepada orang lain," ujarnya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian