KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan seorang lelaki warga asing selepas cuba menyeludup 850 minyak masak peket ke negara jiran di tepi jalan Salor-Pasir Mas di sini pada Selasa.

Suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan pada jam 5 petang selepas memandu kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menjumpai 850 minyak masak peket di dalam kereta terbabit.

"Pada masa sama, kita turut menahan seorang wanita tempatan berusia 20-an untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, semasa ditahan kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan barang kawalan tersebut.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Azman memberitahu, tindakan tegas diambil bagi membendung kegiatan aktiviti tidak bermoral itu daripada terus berlaku.

Katanya, sebarang aduan yang berkaitan dengan penyelewengan barang kawalan boleh disalurkan kepada KPDN Kelantan. - Sinar Harian