"Encik, derma untuk kanak-kanak di Asia," demikian sapaan wanita warga Filipina berusia lingkungan 50-an sambil menghulurkan sebuah buku kecil kepada wartawan Bernama.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahinya kerana wartawan ini enggan memberi derma lantas wanita terbabit beredar ke meja makan lain dan berjaya mendapat sejumlah wang daripada pelanggan yang sedang menjamu selera di dalam restoran itu.

Cubaan saya untuk mengambil gambar gagal berikutan jarak meja yang agak jauh.

Beberapa minit kemudian, saya didatangi pula wanita warga Filipina lingkungan 20-an yang turut meminta sumbangan sama namun apabila ditanya mengenai permit pekerja asing, wanita itu gugup lalu berlalu pergi.

Saya bersama rakan sejawatan kemudian cuba menjejaki kedua-dua wanita itu di sekitar Jalan Ramin, Jalan Wong Nai Siong, Jalan Kampung Nyabor, Jalan Sanyan dan Halan Morshidi Sidek, namun usaha kami menemui kegagalan.

Saya menghubungi Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi memaklumkan mengenai perkara itu agar polis menjalankan siasatan secara terperinci.

Menurut Mohd Kamal, pihaknya akan menyiasat perkara itu memandangkan warga asing tidak dibenarkan sama sekali menjalankan sebarang aktiviti mengutip derma menggunakan nama mana-mana organisasi atau untuk tujuan persendirian.

Katanya merujuk kepada Peraturan 39 (b) Akta Imigresen 1969/1963, sebarang aktiviti mengutip derma adalah salah di sisi undang-undang kerana melanggar syarat pas lawatan.

Modus operandi golongan itu adalah menjalankan aktiviti mengutip derma secara berkumpulan dengan membawa peralatan muzik seperti gitar dan membuat persembahan di kedai-kedai makan termasuk tempat yang menjadi tumpuan orang ramai.

Walaupun polis menjalankan tangkapan namun mereka masih meneruskan aktviti itu malah individu terlibat juga mendapatkan khidmat guaman sekiranya kes dibawa ke mahkamah.

Semakan menerusi Internet mendapati Children of Asia atau Enfants d’Asie merupakan badan bukan bermatlamatkan keuntungan yang beribu pejabat di Paris itu ditubuhkan pada 1991.

Menurut maklumat dalam laman sesawang badan itu, ia telah membantu 12,000 kanak-kanak yatim piatu termasuk yang hidup dalam keadaan daif di 50 pusat di Kemboja, Laos, Vietnam and Filipina.