[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Warga Belanda maut ketika teroka gua di Taman Negara Kuala Tahan

Bernama 05/04/2025 | 07:15 MYT
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) untuk proses bedah siasat.
KUANTAN: Seorang wanita warga Belanda maut ketika menyertai aktiviti meneroka secara berkumpulan di Gua Kepayang, Trail Keniam-Terenggan,Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Razam Taja Rahim berkata mangsa, Pommelien Catharina Maria Meijs, 33, dilaporkan tidak sedarkan diri selepas enam jam memulakan aktiviti tersebut bersama 16 individu lain dari pelbagai negara termasuk pemandu pelancong.
Beliau berkata pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Tahan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Tahan dan polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik mendapat panggilan kecemasan kira-kira 7 malam.
"Pasukan SAR mengambil masa tiga hingga ke empat jam untuk sampai ke lokasi. Bagaimanapun, operasi membawa mangsa keluar tidak dapat dapat diteruskan kerana trek berlumpur, licin dan cuaca tidak mengizinkan selain bentuk muka bumi yang berbukit-bukau.
"Operasi SAR terpaksa dihentikan sekitar 6 petang dan disambung hari ini menggunakan helikopter," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pasukan SAR membuat pembersihan kawasan seluas 9.1 meter x 9.1 meter persegi untuk persediaan mengangkat mangsa di lokasi tersebut bagi dibawa ke Padang FA Jerantut.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis Jerantut pada 11.26 pagi dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) untuk proses bedah siasat," katanya.
-- BERNAMA
#Taman Negara #Kuala Tahan #kes kematian #Gua Kepayang