Pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China yang diculik lima lelaki bersenjata di Pulau Baik, Lahad Datu pada 6 Mei lepas berjaya diselamatkan polis awal pagi ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata warga China itu, Yang Zai Lin kini berada di Sandakan dan akan dihantar pulang ke negara asal petang ini menerusi Kuala Lumpur.

"Beliau berjaya diselamatkan dan siasatan tetap akan dijalankan," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat khas penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran penuh berhubung pembebasan lelaki itu.

Dalam kejadian pada kira-kira 2.45 pagi 6 Mei lepas, lima lelaki bersenjata menculik Yang, 34, berasal dari Guangzhao dan telah bekerja di syarikat Wonderful Terrace Sdn Bhd milik warga China dari Hongkong itu selama tiga tahun.

Berhubung taklimat kira-kira tiga jam dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan turut dihadiri Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan Komander ESSCom Datuk Abd Rashid Harun itu, Khalid berkata Peguam Negara menyampaikan perincian penstrukturan semula ESSCom yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa lepas.

"Taklimat menjurus mengenai penstrukturan ESSCom dan kefahaman kepada semua agensi dan tanggungjawab serta peranan yang dimainkan mereka yang terlibat di bawah ESSCom bagi memastikan di kawasan pantai timur Sabah selamat," katanya.

Penstrukturan semula Esscom mewujudkan dua komponen utama iaitu pengurusan keselamatan dan pertahanan serta penguatkuasaan dan tindakan awam, bertujuan menggembleng sumber agensi-agensi keselamatan bagi mempertingkat keberkesanan operasi.

Pelantikan Abd Rashid sebagai Komander ESSCcom berkuat kuasa 15 Julai.