Warga emas didakwa cederakan anggota polis

Nur Fazlizai Ali
Mac 17, 2022 11:05 MYT
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Kampung Rahmat, Setiu, jam 12.15 tengah hari pada 14 Mac lalu. - Gambar/ Astro AWANI
BESUT: Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis atas pertuduhan mencederakan anggota polis .
Osman Mamat, 65, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Lans Koperal Mohammad Islahuddin Mohd Ali, 29.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Kampung Rahmat, Setiu, jam 12.15 tengah hari pada 14 Mac lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 11 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
#Osman Mamat #cederakan anggota polis #warga emas #mahkamah