MELAKA: Seorang akauntan warga emas tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan memukul isteri selepas rahsia berpoligami diketahui mangsa.

Norazlan Md Ali, 60, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap isterinya, Zaharah Mustapa, 58, dalam sebuah kenderaan jenis BMW XI di kawasan lampu isyarat Bukit Katil di sini kira-kira jam 5.30 petang pada 25 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa mendapat tahu dirinya telah dimadukan dan berlaku 'perang mulut' antara mangsa dan tertuduh sebelum tertuduh didakwa memukul mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan dia yang tidak lagi tinggal bersama mangsa dan perlu menanggung keluarganya termasuk enam orang anak.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dan 20 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - Sinar Harian