ALOR SETAR: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Tanjung Chali, di sini, hari ini.

Mangsa, Lee Boon Cheng, 65, kali terakhir dilihat berjalan di tebing sungai sekitar pukul 10 pagi sebelum dilaporkan hilang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 10.22 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja dihantar ke lokasi.

Mohamadul Ehsan berkata, hasil siasatan anak mangsa memaklumkan, dia terjumpa sekeping nota di atas meja di dalam bilik bapanya yang tetulis “bapa ingin terjun sungai”.

Beliau berkata, sebaik tiba di kawasan sungai, anak mangsa menjumpai selipar milik ayahnya berada di tebing.

Kata Mohamadul Ehsan, anak mangsa cuba mencari dan bertanyakan kepada orang awam yang memaklumkan ternampak ayahnya terjatuh ke dalam sungai dan ada yang cuba membantu tetapi gagal.

Bomba, jelas beliau, menggunakan dua buah bot dan operasi pencarian di permukaan air masih dilakukan sebelum penyelaman dilakukan pasukan penyelamat di air (PPDA).

“Saya telah arahkan anggota kita untuk buat pencarian di permukaan sungai dan kita gerakkan pasukan PPDA seramai dua pasukan untuk mencari dan menyelam... kedalaman sungai ini melebihi 16 kaki, jadi kita sudah buat pencarian di permukaan sepanjang 500 meter dari lokasi yang dipercayai (mangsa) telah lemas,” jelas Mohamadul Ehsan.



Beliau turut memaklumkan, seramai 25 anggota termasuk 16 anggota PPDA dari Jitra dan Sungai Petani dikerahkan untuk operasi pencarian mangsa.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dilakukan ketika ini.



* Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.

Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma.*