NATIONAL

Warga emas ditahan pukul, baling kucing

Sinar Harian 14/05/2025 | 11:35 MYT
Keadaan kucing terbabit selepas ditemui pemiliknya di dalam longkang dengan keadaan berlumuran darah. - Gambar/ Sinar Harian
SEGAMAT: Seekor kucing peliharaan cedera dipercayai dipukul dan dibaling ke kawasan rumah tidak berpenghuni oleh seorang lelaki warga emas dalam kejadian di Taman Yayasan, Buloh Kasap di sini pada Selasa.

Ringkasan AI
  • Seekor kucing cedera teruk dipercayai dipukul dan dibaling ke kawasan rumah tidak berpenghuni oleh seorang lelaki warga emas di Taman Yayasan, Segamat.
  • Rakaman CCTV menunjukkan suspek memukul dan membaling kucing tersebut, dan suspek telah ditangkap serta mengaku bertindak demikian kerana terganggu dengan kehadiran kucing itu.
  • Kes disiasat di bawah beberapa seksyen undang-undang termasuk Seksyen 428 Kanun Keseksaan, Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya mengesan rakaman video dan gambar tular di media sosial yang memaparkan seekor kucing dalam keadaan berdarah dan cedera.
“Hasil semakan lanjut mendapati kejadian berlaku di Taman Yayasan, Segamat dan turut menerima laporan daripada seorang wanita tempatan yang juga pemilik kucing berkenaan.
"Kejadian berlaku kira-kira jam 11.12 pagi ketika wanita itu sedang mencari kucing peliharaannya sebelum ternampak jirannya menolak sesuatu ke dalam longkang.
“Pengadu kemudian menemui kucingnya di dalam longkang dalam keadaan berlumuran darah dan mengesyaki ia telah dipukul oleh jirannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Ahmad Zamry, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kawasan kejiranan turut menunjukkan suspek memukul dan membaling haiwan itu ke kawasan rumah yang tidak berpenghuni.
Susulan itu, katanya, tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 70 tahun telah dibuat sekitar jam 12.20 malam pada Rabu.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku bertindak demikian kerana berasa terganggu dengan kehadiran kucing itu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, serta Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya.
"Turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya," jelasnya. - Sinar Harian
#pukul kucing #warga emas #Segamat #video tular