Warga emas maut kereta terbabas jatuh gaung dekat Cameron Highlands

Abd Razak Mohd Ali
April 11, 2019 00:36 MYT
Awang Kechik yang duduk di kerusi penumpang hadapan tercampak keluar dari kereta yang dipandu menantunya. -Foto PDRM
Seorang warga emas maut selepas kereta yang dinaiki terjatuh ke dalam gaung kira-kira 500 meter di Batu 25, Jalan Tapah - Cameron Highlands, dekat sini, petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharudin Wan Ismail berkata mangsa Awang Kechik Dollah, 75, meninggal dunia di tempat kejadian.
Awang Kechik yang duduk di kerusi penumpang hadapan tercampak keluar dari kereta yang dipandu menantunya, Suziana Afzan, 32.
Suziana hanya mengalami cedera ringan manakala empat lagi anggota keluarganya tidak mengalami kecederaan.
Kesemua mereka beralamat di Kuala Krai, Kelantan.
Wan Azharudin berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 6.50 petang.
“Siasatan awal dijalankan di tempat kejadian mendapati kenderaan itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Cameron Highlands.
“Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai pemandu telah hilang kawalan dan jatuh gaung sedalam 500 meter," katanya di sini awal pagi Khamis.
Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Cameron Highlands manakala yang terkorban dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Awang Kechik Dollah #Cameron Highlands #Hospital Cameron Highlands #Hospital Tapah #Suziana Afzan #Wan Azharudin Wan Ismail #warga emas