MALAYSIA

Warga emas maut kereta terbabas langgar gerai

Bernama 16/09/2025 | 03:00 MYT
Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebuah gerai di Jalan Malim Jaya berhampiran dengan sebuah stesen minyak di Melaka, pagi tadi.
MELAKA: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebuah gerai di Jalan Malim Jaya berhampiran dengan sebuah stesen minyak di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Chan Soa'a, 74, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Ketika kejadian, kereta jenis Proton Arena dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah bulatan Malim menuju ke lampu isyarat Plaza Pandan Malim.

"Siasatan awal mendapati kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah gerai di tepi jalan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA




#warga emas maut #kereta terbabas #hilang kawalan #langgar gerai