LENGGONG: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah lori tangki muatan simen di persimpangan lampu isyarat berhampiran Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Lenggong, di sini, pada Jumaat.

Dalam kejadian itu, pemandu kereta Perodua Myvi dikenali sebagai Shahrudin Osman, 65, maut di tempat kejadian, sementara isterinya yang berada dalam kenderaan sama dikenali sebagai Asmawati Yahaya, 53, cedera parah.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Changkat Berangan di sini, dalam perjalanan pulang selepas membawa isterinya mendapatkan rawatan kesihatan di Lenggong.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 5.02 petang.

Menurutnya sejurus selepas itu enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong, diketuai Pegawai Bomba Kanan II Hamdan Abdullah dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya ketika tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori tangki muatan simen dengan tiga kereta jenis Perodua Myvi, Toyota Avanza serta Peroda Aruz.

“Terdapat dua mangsa tersepit dalam kereta Perodua Myvi, dan pemandunya telah disahkan maut di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pasukan bomba telah berjaya membawa keluar mangsa yang tersepit pada bangkai kenderaan dengan menggunakan peralatan menyelamat.

“Mangsa wanita yang cedera telah diserahkan kepada pihak KKM sementara mangsa lelaki maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, katanya mangsa-mangsa bagi tiga kenderaan lain mengalami kecederaan ringan dan operasi tamat pada jam 6.15 petang.