SEREMBAN: Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 21 pertuduhan memindah dan menggunakan akaun miliknya bagi aktiviti pengubahan wang haram, berjumlah RM2.7 juta antara 2015 hingga 2020.

Tertuduh yang juga bekas kontraktor Lai Ching Wai, 64, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Mandarin, di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Mengikut pertuduhan, Lai didakwa memindahkan wang RM150,000 hingga RM660,000 yang merupakan hasil daripada wang haram, melalui tujuh transaksi daripada akaun miliknya ke akaun bank milik sebuah syarikat antara 2 Nov hingga 11 Nov 2020.

Lai turut didakwa menggunakan akaun simpanan miliknya sebagai peralatan aktiviti wang haram itu, yang dilakukan di beberapa bank berbeza di sini antara 21 Ogos 2015 hingga 19 Ogos 2020.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Harris Ong Mohd Jeffery Ong manakala tertuduh diwakili peguam S Karthigesan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi kesemua pertuduhan dan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 15 Feb.

-- BERNAMA