AYER KEROH: Seorang imam warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan, bulan lalu.

Tertuduh Ashar Sabtuawan yang berusia 60 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang merupakan imam ganti di sebuah surau di Limbongan didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dengan meraba bahagian alat sulit kanak-kanak berkenaan.

Tindakan itu dilakukan tertuduh antara pukul 3.30 hingga 5 petang di sebuah surau di Limbongan, Melaka pada 28 Mei lalu.

Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun lapan bulan antara pukul 5 petang sehingga 5.30 petang di dalam stor di surau sama pada hari sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual bukan fizikal bagi maksud seksual dengan berbogel di hadapan mangsa sama berusia 13 tahun lapan bulan di tempat dan waktu sama.

Justeru, warga emas itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(i) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Mazana Sinin, tertuduh turut didakwa memiliki video lucah dalam telefon bimbit dan didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh yang mempunyai dua anak boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM23,000 dan menetapkan tarikh 15 Julai ini sebagai sebutan semula kes bagi keempat-empat pertuduhan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin dan  Sharina Farhana Nor Sa'ari manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Mustapa.