Warga emas meninggal dunia, sesak nafas daki gunung

Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 31, 2022 11:57 MYT
Mangsa (baju biru terbaring) pengsan dan disahkan meninggal dunia di Gunung Pulai. - Foto JBPM
KULAI: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia selepas pengsan ketika mendaki Gunung Pulai, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Baktiar Selamat berkata, sebelum itu pihaknya menerima panggilan jam 1.27 tengah hari berhubung kejadian.
Katanya mangsa yang maut dikenali sebagai Chua Kok Wah, 62 tahun.
"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat seorang mangsa telah pengsan di gunung setinggi 3 kilometer (km) dari kaki gunung semasa aktviti mendaki.
"Mangsa telah dibawa turun ke pondok pengawal di kaki gunung oleh orang awam sebelum PKO sampai di lokasi.
"PKO bertindak membuat pemeriksaan kepada mangsa. Mangsa disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak KKM seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun diselamatkan selepas sesak nafas ketika aktiviti mendaki di Gunung Lambak, Kluang.
Ketua Balai BBP Kluang, Mohd Fauzi Md Nor berkata, mangsa mengalami sesak nafas semasa aktviti mendaki gunung di ketinggian 200 meter dari kaki gunung tersebut.
"PKO bertindak memberikan bantuan pernafasan dari tangki oksigen jentera EMRS J2-04.
"Mangsa telah turun sendiri selepas keadaan stabil dalam pemantauan pasukan Bomba seterusnya
serahkan pada pihak KKM untuk tindakan selanjutnya," katanya.
#warga emas meninggal dunia #daki Gunung Pulai #sesak nafas #bomba Kulai