MALAYSIA

Warga emas rugi lebih RM300,000 terperdaya pelaburan tidak wujud

Bernama 03/12/2025 | 13:15 MYT
Polis berkata siasatan awal mendapati mangsa terlihat satu iklan pelaburan saham di laman Facebook dan kemudian menghubungi nombor telefon yang diberikan melalui aplikasi WhatsApp. - Foto hiasan
IPOH: Polis mengesahkan seorang lelaki warga emas kerugian RM300,651 selepas terperdaya sindiket pelaburan saham tidak wujud menerusi media sosial pada awal Oktober lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata mangsa berusia 62 tahun dan tidak bekerja itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini semalam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa terlihat satu iklan pelaburan saham di laman Facebook dan kemudian menghubungi nombor telefon yang diberikan melalui aplikasi WhatsApp.

"Pengadu seterusnya berminat dan telah melakukan 14 kali transaksi berjumlah keseluruhan RM300,651 ke satu akaun bank yang didaftarkan atas nama syarikat. Menurut pengadu, wang itu adalah hasil simpanan dan juga pinjaman daripada syarikat pemberi pinjaman wang.

"Pengadu hanya menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA


#warga emas #terperdaya #pelaburan tidak wujud #media sosial