[TERKINI] Najib Razak kekal di Penjara Kajang
MALAYSIA

Warga emas rugi RM100,000 terperdaya skim bantuan kerajaan palsu

Bernama 22/12/2025 | 14:53 MYT
Mangsa ditawarkan 'bantuan kerajaan' daripada suspek yang kemudian memberikan RM500 kononnya sebagai bantuan daripada kerajaan. - Foto hiasan
KUANTAN: Polis mengesahkan seorang warga emas mengalami kerugian RM100,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan bantuan kerajaan palsu pada 18 Dis lepas.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Naysim Bahron berkata mangsa berusia 78 tahun didatangi dua lelaki tidak dikenali di sebuah kedai makan dekat Bera pada Khamis lepas.

"Mangsa kemudian ditawarkan bantuan kerajaan daripada suspek yang kemudian memberikan RM500 kononnya sebagai bantuan daripada kerajaan.

"Susulan itu, suspek terus memperdaya dengan menawarkan untuk memasuki satu program palsu yang kononnya ditawarkan oleh pihak kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nasyim berkata suspek turut memperdayakan mangsa dengan menjanjikan pulangan 20 peratus setiap bulan, jika warga emas itu membuat pembayaran awal RM100,000.

Beliau berkata suspek kemudian telah membawa mangsa ke sebuah bank dan mengeluarkan wang simpanannya dan memberi kepada dua lelaki terbabit, sebelum suspek melarikan diri meninggalkan mangsa di situ.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan usaha mengenal pasti dan mengesan suspek sedang dijalankan.

-- BERNAMA

#warga emas #kerugian #terperdaya #sindiket penipuan bantuan kerajaan palsu