Warga emas tahan sakit lebih 20 minit akibat tersangkut di atas pokok rambutan

Siti Nur Aqilla Omar
Mac 29, 2021 04:39 MYT
Mangsa terpaksa menahan kesakitan kira-kira 20 minit selepas tersangkut di atas sebatang pokok rambutan. - Foto JBPM
KLUANG: Seorang warga emas terpaksa menahan kesakitan kira-kira 20 minit selepas tersangkut di atas sebatang pokok rambutan di Jalan Suria, Kluang di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Akob Sidek berkata dalam kejadian 9.38 pagi, lelaki berusia 66 tahun itu dipercayai memanjat pokok untuk mengambil buah rambutan.
Bagaimanapun katanya kaki mangsa tersangkut di dahan pokok itu pada ketinggian tiga meter.
"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat seorang mangsa lelaki dewasa tersangkut di atas dahan pokok rambutan berketinggian tiga meter.
"PKO bertindak untuk memotong dahan tersebut dengan menggunakan parang. Setelah kerja pemotongan selesai mangsa dibawa turun dengan selamat menggunakan tangga.
"Mangsa hanya melecet dibahagian kaki yang tersepit,"katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam operasi itu sembilan anggota bomba bersama jentera dan EMRS dihantar ke lokasi kejadian.
#bomba #warga emas sangkut atas pokok #sangkut #gayat #operasi menyelamat #bomba Kluang #bomba Johor #warga emas #pokok rambutan #makan rambutan #Rambutan