PUTRAJAYA: Seorang lelaki warga India terlepas hukuman gantung setelah Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengetepikan sabitan terhadap pertuduhan mengedar 5.5 kilogram (kg) dadah jenis ketamin, enam tahun lepas.

Bagaimanapun, T. Murugesan, 38, disabitkan bagi pertuduhan memiliki dadah tersebut dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara menjatuhkan hukuman tersebut selepas peguam Sangeet Kaur, mewakili Murugesan, memaklumkan Jabatan Peguam Negara menerima representasinya untuk mengetepikan hukuman gantung iaitu mengedar kepada memiliki dadah tersebut.

"Mahkamah mengambil maklum mengenai representasi itu dan setelah mempertimbangkan mitigasi perayu (Murugesan) dan responden (pendakwaan), mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap perayu bermula dari tarikh tangkap pada 21 Mei 2017," kata Hakim Hanipah yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk See Mee Chun.

Mengikut pertuduhan, Murugesan didakwa memiliki 5.5 kg ketamin di Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jam 7.40 pagi, 21 Mei 2017.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Semasa rayuan hukuman, Sangeet berkata anak guamnya yang telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak itu telah berada di penjara selama lima tahun 10 bulan.

"Anak guam berasal dari Tamil Nadu dan beliau telah datang ke Malaysia hanya untuk bekerja serta menambah pendapatan," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dengan mengambil kira kepentingan awam.

Pada 8 Jan 2020, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Murugesan selepas didapati bersalah atas pertuduhan tersebut.

-- BERNAMA