NATIONAL

Warga KKM perlu faham polisi ekonomi mikro untuk atasi ‘penyakit ekonomi’ - PM

Faida Rahim 08/05/2025 | 04:20 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pemahaman ini harus menjadi asas dalam kementerian, jabatan dan pusat penyelidikan bagi memastikan pembangunan dilaksanakan secara adil dan berkesan.
KUALA LUMPUR: Warga Kementerian Kesihatan (KKM) disarankan memahami polisi ekonomi mikro termasuk penggunaan sumber yang terhad untuk memenuhi keperluan, dalam usaha mengatasi 'penyakit ekonomi' negara.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan warga Kementerian Kesihatan (KKM) memahami polisi ekonomi mikro dan penggunaan sumber yang terhad untuk mengatasi 'penyakit ekonomi' negara.
  • Anwar menyatakan bahawa setiap kawasan dan bandar mempunyai permintaan kesihatan tersendiri, namun perlu memahami keutamaan dan keterbatasan sumber untuk memenuhi keperluan tersebut secara adil dan berkesan.
  • Anwar menyeru agar usaha penyelidikan klinikal dipertingkatkan, termasuk kerjasama serantau melalui ASEAN, untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi global dan memastikan reformasi dilaksanakan dengan cepat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pemahaman ini harus menjadi asas dalam kementerian, jabatan dan pusat penyelidikan bagi memastikan pembangunan dilaksanakan secara adil dan berkesan.
“Saya selalu berkata, Dr. Dzul (Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad) tolong beritahu kepada kakitangan anda, bukan hanya untuk mengetahui tentang penyakit, tetapi juga untuk memahami penyakit ekonomi dan polisi ekonomi mikro.
"Setiap kementerian, setiap jabatan, setiap pusat penyelidikan tentu saja inginkan lebih banyak penyelidikan... begitulah negara ini. Tetapi kita perlu melihat sekolah, infrastruktur raya, klinik dan hospital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan CRM Trail Connect 2025 di Kuala Lumpur pada Khamis.
Mengulas lanjut, Anwar memberitahu setiap kawasan dan bandar mempunyai permintaan tersendiri dalam aspek kesihatan, namun kerajaan tidak boleh memenuhi semuanya tanpa pemahaman mendalam terhadap keutamaan dan keterbatasan sumber.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan walaupun negara terus memperluas usaha penyelidikan dan pembangunan, tekanan yang wujud akibat permintaan ini turut dirasai oleh masyarakat dan golongan profesional, terutama doktor.
"Doktor adalah sebuah kumpulan profesional yang sangat sensitif. Saya rasa dari pengalaman (Datuk Seri Dr Wan) Azizah, saya akan tahu.
"Itulah kenapa pemahaman polisi ekonomi mikro, kelemahan… mesti ada," katanya.
Malah menurut Anwar, sejak 2012 lagi sumbangan sektor klinikal kepada pendapatan negara telah melebihi RM1.5 bilion, dengan lebih 3,000 pekerja berkemahiran tinggi.
Dalam era digital dan kecerdasan buatan (AI), Anwar menyeru agar penyelidikan klinikal dipertingkat termasuk kerjasama serantau terutama melalui ASEAN.
Jelas Anwar lagi, langkah itu perlu dilakukan susulan ketidaktentuan dalam pengumuman tarif oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
"Jadi, kita punya pilihan untuk menunggu atau melakukan apa sahaja yang diperlukan bermaksud melakukan penyelidikan yang bersama-sama untuk memastikan kita mempengaruhi perubahan ini dan mengimplementasikan reformasi ini secepat mungkin,” katanya.
#KKM #Anwar Ibrahim #ekonomi mikro #keperluan pembangunan