Warga Malaysia di Bangkok anjur Merdeka Fun Ride semarak semangat patriotisme

Bernama
Ogos 17, 2020 12:29 MYT
Datuk Jojie Samuel (tiga dari kiri) menyertai kayuhan Merdeka Fun Ride 2020 bersama rakyat Malaysia di Bangkok sempena sambutan bulan kemerdekaan. - Bernama
Rakyat Malaysia yang menetap di Bangkok hari ini menyertai konvoi berbasikal Merdeka Fun Ride 2020 untuk menyemarakkan semangat patriotisme sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Jalur Gemilang berkibar megah di basikal peserta, membabitkan 60 kakitangan kedutaan bersama ahli keluarga dan diaspora di Bangkok menyertai acara berbasikal itu di Happy and Healthy Bike Lane di Lapangan Terbang Suvarnabhumi.
Peserta dilepaskan oleh Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Asia Timur Kementerian Luar Negeri Thailand Arjaree Sriratanaban.
Jojie berkata Merdeka Fun Ride yang julung kali dianjurkan oleh kedutaan bertujuan menyuntik semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama generasi muda.
"Kami juga berharap melalui program ini, kami dapat memupuk semangat kekitaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang tinggal di sini," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata program itu juga bertujuan agar rakyat Malaysia menghargai makna sebenar kemerdekaan serta menghormati pengorbanan yang dilakukan oleh pejuang negara.
-- BERNAMA
#Bangkok #Hari Merdeka #Jalur Gemilang #merdeka fun ride #patriotisme #rakyat Malaysia #Thailand