Mulai hari ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewajibkan individu yang kehilangan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) sama ada di dalam negara atau luar negara membuat laporan di balai polis berdekatan.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Alwi Ibrahim berkata kehilangan PMA boleh berlaku atas faktor kecuaian yang disengajakan atau musibah yang tidak dapat dielakkan seperti kecurian, samun, banjir atau kebakaran.

Beliau berkata mereka yang kehilangan PMA dan berhasrat untuk membuat PMA baharu wajib mengemukakan laporan polis di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Bagi kes kehilangan akibat banjir, laporan polis tersebut perlu disertakan bersama laporan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), manakala bagi kes kehilangan akibat kebakaran perlu menyertakan bersama laporan daripada pihak pasukan Bomba dan Penyelamat.

"PMA merupakan dokumen yang dikeluarkan di bawah Akta Pasport 1966, yang akta ini mengawal pengeluaran, pemilikan dan perkara-perkara berkaitan dengan dokumen perjalanan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Alwi berkata PMA mempunyai nilai tinggi di peringkat global kerana pemegang PMA menikmati kebebasan untuk memasuki 163 daripada 219 negara tanpa visa.

Menurutnya, laporan Henley & Partners Visa Restrictions Index, Malaysia menduduki tempat ke-9 pada tahun lepas dalam kebebasan warganegara untuk memasuki negara lain.

"Kewajipan melaporkan kehilangan PMA di balai polis berhampiran bertujuan melindungi maklumat peribadi dan mengelakkan dokumen berkenaan daripada disalahgunakan oleh sindiket antarabangsa yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Berdasarkan laporan JIM, sebanyak 18,037 kes kehilangan PMA dikesan pada 2012, manakala 2013 (19,579 kes) dan 16,789 kes bagi 2014.