[TERKINI] Ikuti pembentangan Bajet 2026 secara langsung – video tumpuan, undian anda serta analisis penuh di sini!
MALAYSIA

Warga Myanmar didakwa bunuh rakan senegara di Seremban

Bernama 10/10/2025 | 08:45 MYT
Tha Hnin Sang dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini. - Gambar/ Bernama
SEREMBAN: Seorang lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di sebuah bengkel, minggu lepas.

Tha Hnin Sang, 19, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Farha Sulaiman, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Cung Tha Lian, 25, di sebuah bengkel di Jalan Lingkaran Tengah, Seremban, antara 8.46 malam hingga 11.41 malam pada 3 Okt lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur' Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 10 Dis ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA


#kes bunuh #Seremban #warga myanmar #warga asing