NATIONAL
Warga Myanmar maut, nahas motosikal, van di Parit

Dalam kemalangan itu, penunggang motosikal berumur 38 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lelaki penumpang van di hadapan, tersepit di bahagian kaki.
PARIT: Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas motosikal yang ditunggang terbabit dalam nahas dengan sebuah van di Jalan Senggang Kuala Kangsar, di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengena kemalangan itu pada 8.42 malam.
Menurutnya, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit digerakkan ke lokasi sebaik menerima maklumat.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah van yang dinaiki tiga orang dan sebuah motosikal.“Penunggang motosikal berumur 38 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) manakala seorang lelaki penumpang van di hadapan, tersepit di bahagian kaki,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Sabarodzi berkata, ketua operasi melaksanakan sizeup seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota menggunakan peralatan hidrolik untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, mangsa yang maut pula telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II TBK Mohd Zain Mat Yusoff tamat jam 10.40 malam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami