KOTA BHARU: Seorang lelaki warga Pakistan ditahan selepas didakwa merogol wanita orang kurang upaya (OKU) di Pengkalan Chepa di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian sekitar jam 1 tengah hari itu dipercayai berlaku ketika mangsa yang berusia 30 tahun sedang berjalan kaki ke sebuah kedai makan sebelum didatangi suspek.

"Polis menerima laporan berkait kes rogol melibatkan mangsa seorang OKU (ketidakupayaan intelektual) pada jam 5.35 petang.

"Berdasarkan keterangan mangsa, suspek yang berusia 42 tahun telah mengajak ke bahagian tingkat atas sebuah rumah kedai dan bertindak merogolnya.

"Wanita itu telah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk pemeriksaan dan rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, bertindak atas laporan yang diterima pihaknya telah menahan suspek di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa.

Ujarnya, ujian saringan awal air kencing ke atas suspek adalah negatif dan dia juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

"Lelaki terbabit direman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 Mei untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.