MALAYSIA

Warga Pakistan mabuk rempuh restoran, lari terjun tembok diberkas

Sinar Harian 20/07/2025 | 10:00 MYT
Suspek enggan berhenti walaupun dihalang orang awam dan dikejar polis sehingga ke Lebuhraya Pasir Gudang.
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Pakistan yang memandu di bawah pengaruh alkohol bertindak nekad melarikan diri dengan memanjat pagar dan terjun dari tembok setinggi dua meter selepas terlibat dalam nahas di sebuah restoran di Jalan Riang Utama pada Sabtu.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki warga Pakistan berusia 45 tahun memandu di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan kemalangan di sebuah restoran di Jalan Riang Utama, Johor Bahru. Suspek melanggar beberapa motosikal dan sebuah kereta sebelum cuba melarikan diri.
  • Suspek enggan berhenti walaupun dihalang orang awam dan dikejar polis sehingga ke Lebuhraya Pasir Gudang. Dia bertindak memanjat pagar dan terjun dari tembok setinggi dua meter sebelum ditahan dalam keadaan cedera dan lemah.
  • Suspek disiasat di bawah beberapa akta termasuk Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen sah, serta Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa lesen dan di bawah pengaruh alkohol. Polis menegaskan komitmen membanteras jenayah yang mengganggu ketenteraman awam.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek berusia 45 tahun itu pada awalnya hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke dalam restoran sekitar jam 6.30 petang.

“Suspek kemudian mengundurkan kenderaan hingga melanggar beberapa motosikal yang diparkir di hadapan premis dan terus memandu ke hadapan sebelum merempuh pula sebuah Proton Persona yang diparkir di bahu jalan.

“Orang awam cuba menghalang suspek daripada melarikan diri, namun lelaki itu enggan berhenti,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Raub berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik segera dikerahkan untuk mengesan suspek dan berjaya menemuinya di Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Perling.

“Ketika diarahkan berhenti, suspek tidak mengendahkan arahan dan hanya memberhentikan kenderaan di Kilometer 8 lebuh raya itu sebelum bertindak keluar melarikan diri.

“Suspek memanjat pagar sempadan di Jalan Dewani dan nekad terjun dari tembok berketinggian dua meter sebelum akhirnya berjaya diberkas dalam keadaan cedera dan lemah,” katanya.

Menurut beliau, suspek dihantar ke Hospital Sultanah Aminah bagi mendapatkan rawatan dan ujian darah telah diambil.

"Polis akan memohon perintah reman ke atas suspek mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah; Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kemalangan; dan Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa lesen," katanya.

Raub menjelaskan bahawa polis tegas dalam memerangi jenayah dan memastikan kes-kes yang mengganggu ketenteraman awam ditangani dengan pantas dan berkesan. - Sinar Harian





#warga Pakistan #kes kemalangan #mabuk #pemandu mabuk