KUALA LUMPUR: Sebanyak 69 layang-layang diterbangkan kanak-kanak Palestin dari Pantai Gaza sebagai simbol kasih sayang dan penghargaan kepada rakyat Malaysia sempena Hari Kebangsaan ke-69.
Menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cinta Gaza Malaysia (CGM), setiap layang-layang membawa pesanan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang terus teguh menyokong perjuangan Palestin, khususnya penduduk Gaza.
“Terima kasih kerana sentiasa bersama kami. Sokongan anda memberi kami kekuatan,” kata seorang aktivis wanita CGM menerusi klip video dari Gaza yang disiarkan di Instagram semalam.
Aktivis itu turut mendoakan Malaysia terus menjadi sebuah negara merdeka, bermaruah dan mencintai keamanan.
“Kasih sayang akan terus menjadi jambatan yang menyatukan kita, walau sejauh mana jarak memisahkan. Dari lubuk hati rakyat Gaza, selamat menyambut Hari Kemerdekaan, Malaysia,” katanya lagi.
Inisiatif itu menyentuh hati pengguna media sosial di Malaysia yang memenuhi ruangan komen dengan ucapan terima kasih serta doa buat rakyat Palestin.
Pelakon Tiz Zaqyah mendoakan agar Allah melindungi anak-anak Palestin, manakala penyanyi Pija Minaz menyampaikan ucapan terima kasih kepada penduduk Gaza.
“Hargai dan pertahankanlah tanah air kita. Kemerdekaan kita adalah impian mereka. Suatu hari nanti kita akan sambut bersama-sama,” tulis pengguna Instagram, @illianaaziz.
Beberapa pengguna lain turut mendoakan agar rakyat Palestin dapat mengecapi dan meraikan kemerdekaan mereka sendiri suatu hari nanti.
CGM memaklumkan, video berkenaan dirakam sebelum rejim Zionis Israel mengeluarkan ancaman terhadap aktiviti menerbangkan layang-layang di Gaza.
Dalam perkembangan berkaitan, Al Jazeera pada 27 Ogos melaporkan Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz memperbaharui ancaman untuk mengusir penduduk Palestin dari kawasan yang menjadi lokasi layang-layang atau belon diterbangkan.
Ancaman itu dibuat ketika mesyuarat keselamatan peringkat tinggi bersama Ketua Turus Tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir serta beberapa pegawai kanan ketenteraan.
Katz berkata, tentera Israel akan menggunakan segala tindakan yang dianggap perlu, termasuk memindahkan penduduk Gaza dari mana-mana kawasan atau kejiranan yang menjadi lokasi layang-layang atau belon diterbangkan.
Beliau sebelum itu menyatakan layang-layang dan belon akan dianggap sama seperti dron, sama ada membawa bahan letupan atau sebaliknya, sehingga mendorong ibu bapa di Gaza melarang anak-anak mereka bermain layang-layang.