MALAYSIA

Waris Dato' Sagor rancang tubuh yayasan pelihara legasi dan kebajikan keluarga

Bernama 02/11/2025 | 21:30 MYT
Tun Ramli dan isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah bergambar bersama keturunan Dato' Sagor sempena Perjumpaan Waris Dato' Sagor 2025 di Dewan Besar, Felcra Seberang Perak, pada Ahad. - Foto BERNAMA
PASIR SALAK: Persatuan Waris Dato' Sagor merancang menubuhkan sebuah yayasan khas bagi memelihara legasi tokoh bersejarah itu serta memastikan kebajikan ahli keluarga terus terjamin pada masa akan datang.

Pengerusinya Datuk Abu Hassan Asha'ari Alang Jaman berkata yayasan berkenaan bakal berperanan sebagai platform rasmi bagi penyaluran pelbagai bentuk bantuan, khususnya kepada ahli keluarga yang memerlukan.

"Kita baru lepas wujudkan Persatuan Waris Dato' Sagor ini dua bulan yang lalu. Ini langkah awal kita untuk merealisasikan impian mewujudkan sebuah yayasan yang dapat menaungi kebajikan dan pelbagai aktiviti lain khusus untuk semua ahlinya.

"Di bawah persatuan ini akan diwujudkan satu pangkalan data untuk menjejaki lebih 10,000 waris Dato' Sagor sama ada di dalam negara mahupun di luar," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Perjumpaan Waris Dato' Sagor 2025 di Dewan Besar Baru FELCRA Seberang Perak, di sini, pada Ahad.

Terdahulu, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib yang merupakan waris Dato' Sagor, telah menyempurnakan majlis perasmian perjumpaan yang menghimpunkan lebih 500 waris keluarga tersebut.

Sementara itu, Abu Hassan berkata selain aspek kebajikan, yayasan itu juga akan menganjurkan pelbagai majlis ilmu berkaitan ketokohan Dato' Sagor sebagai seorang pembesar di Perak suatu ketika dahulu.

"Kita berharap penubuhan yayasan itu nanti akan menjadi simbol perpaduan dan kesinambungan keluarga, selain memastikan legasi Dato' Sagor terus dikenang oleh generasi akan datang," katanya.

Mengulas mengenai majlis tersebut, beliau berkata perjumpaan yang julung kali diadakan itu bertujuan mengeratkan ukhuwah serta hubungan persaudaraan antara satu sama lain.

Katanya kehadiran waris dari seluruh negara, termasuk dari luar Perak, menyerlahkan kesungguhan mereka untuk bersama memelihara legasi serta jalinan kekeluargaan yang terbina sekian lama.

"Perjumpaan ini turut diisi dengan sesi perkongsian sejarah keluarga, perbincangan cadangan penubuhan jawatankuasa sementara, serta penyampaian cadangan aktiviti kebajikan dan kebudayaan yang bakal dilaksanakan," katanya.

-- BERNAMA





#yayasan khas #majlis ilmu #sejarah keluarga #aktiviti kebajikan #Waris Dato' Sagor