MALAYSIA

Waris Editor Visual Astro AWANI terima pencen Penakat RM2,157 sebulan

Faida Rahim 19/12/2025 | 04:00 MYT
Pembayaran pencen Penakat tersebut telah bermula pada 13 Disember lalu dan akan diteruskan sehingga waris mencapai usia 21 tahun. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Waris Editor Visual Astro AWANI, Mohd Kusairi Ishak menerima faedah Pencen Penakat oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada Jumaat.

Melalui faedah Pencen Penakat itu, anak Allahyarham, Muhammad Danish Haikal, 20, menerima bayaran pencen bulanan berjumlah RM2,137 yang mula disalurkan pada 13 Disember lalu.

Ketua Cawangan Penjenamaan, Media dan Perhubungan Awam PERKESO, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin memaklumkan, hasil semakan mendapati Allahyarham merupakan pencarum di bawah Skim Perlindungan Pekerja serta memenuhi syarat kelayakan untuk faedah di bawah skim keilatan.

“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Allahyarham telah mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan 1969. Justeru, waris beliau iaitu anak bongsu, Muhammad Danish Haikal Muhammad Kusairi, 20 tahun, layak menerima faedah pengurusan mayat sebanyak RM3,000 secara sekali bayar serta pencen Penakat dianggarkan bernilai RM2,157 sebulan di bawah skim Keilatan,” katanya.

Pembayaran pencen Penakat tersebut telah bermula pada 13 Disember lalu dan akan diteruskan sehingga waris mencapai usia 21 tahun.

Dalam pada itu, sekiranya anak bongsu Allahyarham melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama, pembayaran akan diteruskan sehingga tamat pengajian.

“PERKESO menggalakkan Muhammad Danish untuk menyambung pelajaran kerana faedah yang disediakan bukan sahaja membantu meringankan beban keluarga, malah memberi peluang kepadanya untuk memperoleh pekerjaan yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.

Allahyarham Mohd Kusairi, atau lebih dikenali sebagai Kuchai, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di susur lebuh raya Jejantan Sungai Buloh pada 13 Disember lalu.

Allahyarham meninggalkan dua orang anak lelaki, Muhammad Danial Hakim, 23 dan Muhammad Danish Haikal, 20.








#Mohd Kusairi Ishak #pencen #Kuchai #perkeso