PUTRAJAYA: Wartawan perlu diberikan ruang untuk menjalankan tugas selagi mematuhi peraturan dan tidak melanggar undang-undang yang ditetapkan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Mengulas insiden tiga wartawan yang didakwa diarahkan memadam gambar oleh pihak berkuasa ketika membuat liputan di Cheras, Kuala Lumpur, Fahmi menyifatkan insiden berkenaan tidak sepatutnya berlaku sekiranya mereka telah memperkenalkan diri sebagai pengamal media.
Advertisement
"Saya kesal dengan apa yang telah berlaku. Bagi rakan-rakan wartawan, mereka perlu diberikan ruang sepenuhnya untuk melaksanakan tugas. (Setakat ini), saya belum diberikan maklumat sepenuhnya apa yang telah berlaku tetapi saya akan berhubung dengan Polis Diraja Malaysia untuk mendapatkan kepastian.
“Secara dasarnya, wartawan perlu diberikan ruang sepenuhnya untuk melaksanakan tugas selagi mana mereka memperkenalkan diri mereka sebagai seorang wartawan yang bertugas,” katanya pada taklimat krisis tenaga global dan sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Hari ini, Gerakan Media Merdeka dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) sekali lagi merakamkan kebimbangan terhadap insiden melibatkan pegawai polis dan wartawan.
Dilaporkan, tiga wartawan daripada akhbar berbahasa Cina yang bertugas membuat liputan susulan kes rusuhan di sebuah pusat karaoke di Cheras telah diarahkan untuk memadamkan semua foto dan video yang dirakam di tempat kejadian.
Mengenai kes gangguan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata beliau menyerahkan sepenuhnya siasatan mengenai perkara itu kepada pihak berkuasa.
“Saya tidak terima laporan, saya cuma meneliti apa yang berlaku dalam sidang media ataupun melalui laporan media. Kita serah kepada pihak berkuasa untuk meneliti dan sekiranya ada apa-apa pelanggaran, maka apa tindakan yang perlu disusuli itu kita serah kepada pihak berkuasa,” katanya.
Hari ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata tiga individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam protes yang mengganggu satu acara awam dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM semalam.
Menurut laporan media, suasana tenang pada Wacana Ilmiah Perdana di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur bertukar kecoh apabila sekumpulan individu melakukan protes secara tiba-tiba.
Dalam kejadian kira-kira 2.40 petang itu, dua lelaki dilihat mengangkat kertas mahjung yang tertera tulisan "Tangkap Azam Baki" dan "Azam Baki Simbol Reformati" ketika ucap tama sedang berlangsung.
-- BERNAMA