Wartawan Sarawak Report tidak bertamadun - Ismail Sabri

Astro Awani
Mei 11, 2017 06:38 MYT
ISMAIL SABRI: Mereka ini tidak ada etika, saya anggap tindakannya tidak bertamadun. -Gambar fail.-
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tindakan wartawan Sarawak Report yang mengekori dan menganggu isteri Perdana Menteri baru-baru ini sebagai tidak bertamadun.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata walaupun mereka yakin ia adalah hak sebagai media, Datin Seri Rosmah Mansor turut memiliki hak untuk tidak ditemu bual.
"Mereka ini tidak ada etika, saya anggap tindakannya tidak bertamadun. Walaupun duduk di dalam negara yang bertamadun tidak semestinya orang itu bertamadun.
"Mereka kata ia adalah surat khabar sahaja ada hak untuk temu bual. Tetapi Datin Seri Rosmah juga ada hak yang mesti dihormati," kata Ismail Sabri.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Keruak juga mengecam Sarawak Report yang disifatkan sebagai biadap dan tidak sopan.
Datin Seri Rosmah pada ketika itu sedang dalam lawatan tujuh hari di United Kingdom bagi meluaskan program Permata.
#ismail sabri yaakob #Rosmah Mansor #Sarawak Report #tiada etika