NATIONAL
Wartawan veteran Fauziah Rauf meninggal dunia

Allahyarham Fauziah Rauf menghembuskan nafas terakhir padsa usia 81 tahun sekitar pukul 1 pagi tadi, di Hospital Selayang.
KUALA LUMPUR: Gelanggang kewartawanan tanah air kehilangan seorang lagi pengamal media tersohor, Fauziah Rauf yang menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 1 pagi tadi, di Hospital Selayang, dekat sini.
Allahyarham yang berusia 81 tahun meninggal dunia akibat pendarahan di kepala.
Mengesahkan berita itu, anak sulung Allahyarham Fauziah, Nilly Wahida Omar berkata, sekitar seminggu lalu, ibunya terjatuh di kediaman mereka sebelum dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
“Kami anak-anak berada di sisi emak semasa Allahyarham menghembuskan nafas terakhir. Allahyarham pergi dengan tenang sekali,” kata Nilly kepada Astro AWANI ketika dihubungi.Allahyarham Fauziah meninggalkan empat orang anak dan 13 cucu.
Kata Nilly, jenazah ibunya kini berada di kediaman mereka di Selayang dan akan dibawa ke Masjid Selayang Baru pada jam 10 pagi untuk urusan mandi, kafan dan solat jenazah.
Jenazah Allahyarham Fauziah dijangka dikebumikan selepas solat Zohor.
Sepanjang hayatnya, Allahyarham Fauziah yang juga bekas wartawan Utusan Melayu bukan hanya sukses sebagai wartawan, bahkan, beliau juga antara wartawan wanita terawal yang berjaya menubuhkan syarikat penerbitan sendiri iaitu Nilly Publication yang menerbitkan Majalah PESTA dan akhbar Pentas Dunia.
Syarikat penerbitan itu diusahakan beliau bersama-sama suaminya, Allahyarham Omar Manan.
Sebagai mengiktiraf sumbangan besarnya, Allahyarhamah telah menerima Anugerah Tokoh Wartawan Berjasa sempena Anugerah Kewartawanan Industri Perfileman Malaysia, (AKIFMA) 2017, anjuran bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).
Sementara itu, WHAM merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian Allahyarhamah Fauziah.
“Allahyarhamah Fauziah merupakan sosok wartawan wanita yang disegani dan dihormati dalam dunia kewartawanan serta industri seni dan hiburan tanah air,” kata Presiden WHAM, Tengku Datuk Khalidah Tengku Bidin dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Allahyarham Fauziah merupakan pengasas dan Presiden WHAM semasa persatuan itu diasaskan pada penghujung 1990-an.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami