NATIONAL
Wartawan veteran James Ritchie meninggal dunia

Wartawan veteran James Alexander Ritchie atau lebih dikenali sebagai James Ritchie meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (SGH) hari ini, pada usia 75 tahun. - Foto Sinar Harian
KUCHING: Wartawan veteran James Alexander Ritchie atau lebih dikenali sebagai James Ritchie meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (SGH) hari ini, pada usia 75 tahun.
Pemergian James disahkan oleh bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Seri Robert Jacob Ridu yang juga ahli keluarga mendiang.
"Dukacita dimaklumkan bahawa wartawan veteran James Ritchie telah meninggal dunia. Beliau meninggal dunia dengan tenang di SGH hari ini. Semoga rohnya bersemadi dengan aman selama-lamanya," katanya dalam kenyataan ringkas kepada media di sini.
James merupakan penerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 pada sambutan di sini, tahun lepas.Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan anugerah itu kepada James yang menabur bakti dalam dunia kewartawanan selama lima dekad sejak 1971.
Bermula sebagai wartawan kadet Straits Times di ibu negara ketika berusia 23 tahun, mendiang perlahan-lahan 'mendaki' puncak kerjaya dalam industri kewartawanan, khususnya di Sarawak.
Antara jawatan media pernah disandang beliau ialah Wartawan New Straits Times Sarawak pada 1981, Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Ketua Menteri Sarawak (1998) dan Perunding Media untuk Sarawak Digest (2022).
Jawatan lain termasuk penulis khas Sarawak Tribune pada 2022, Penasihat Editorial dan Pengarah Eksekutif Eastern Times (2006) dan Pengarah Eksekutif New Sarawak Tribune (2010)
Jasa mendiang sebagai individu penting dalam dunia penulisan dan kewartawanan melayakkan beliau menerima pengiktirafan antaranya menerusi Anugerah Emas Shell Kenyalang, Anugerah Akhbar AZAM dan Anugerah Emas Ang Lai Soon.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami