MALAYSIA

Wartawan wanita perlu imbangi teknologi dan integriti - Noraini

Bernama 08/02/2026 | 11:30 MYT
Noraini berkata penguasaan terhadap alat digital dan platform baharu sememangnya penting, namun perlu diseimbangkan dengan integriti yang tidak boleh dikompromi. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Wartawan wanita bukan sahaja dituntut untuk cekap dalam teknologi, malah perlu berpegang teguh pada nilai dan prinsip kewartawanan dalam mendepani cabaran landskap media masa kini.


Ringkasan AI
  • Noraini Ahmad menekankan perlunya wartawan wanita memegang teguh nilai dan prinsip kewartawanan di era media sosial yang dipenuhi dengan berita palsu dan propaganda.
  • Beliau mendesak Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) untuk terus menjadi benteng kewartawanan beretika serta memainkan peranan sebagai jambatan antara masyarakat dan aspirasi negara.
  • Noraini turut mengutarakan inisiatif Kementerian Perladangan dan Komoditi dalam pembangunan industri berasaskan inovasi, termasuk penghasilan bahan api penerbangan mampan daripada minyak masak terpakai untuk memenuhi permintaan pasaran antarabangsa.


Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Noraini Ahmad berkata perkembangan media sosial dan platform digital mempercepat penyebaran maklumat yang membuka ruang kepada berita palsu, propaganda dan naratif mengelirukan sehingga menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi media.

Beliau berkata penguasaan terhadap alat digital dan platform baharu sememangnya penting, namun perlu diseimbangkan dengan integriti yang tidak boleh dikompromi.

"Justeru, Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) dengan pengalaman sejarah yang panjang, mempunyai tanggungjawab besar untuk terus menjadi benteng kepada kewartawanan yang beretika, berprinsip dan berpaksikan kebenaran," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-55 PERTAMA di sini hari ini.

Turut hadir Presiden PERTAMA Datuk Sariha Mohd Ali serta Penasihat PERTAMA Datuk Jamelah Bakar dan Datin Rohana Mustapha.

Noraini berkata tugas wartawan bukan lagi sekadar melaporkan peristiwa, sebaliknya mengangkat suara rakyat, memperjuangkan keadilan sosial dan memupuk kesedaran nasional.

Mengenai PERTAMA, Noraini berkata sepanjang 55 tahun penubuhan, persatuan itu telah memainkan peranan penting sebagai platform yang menyatupadukan wartawan wanita serta memajukan kepentingan profesional dan pembangunan kewartawanan wanita di negara ini.

"Wartawan wanita perlu memainkan peranan sebagai jambatan antara realiti masyarakat dan aspirasi negara kerana dengan kepekaan dan perspektif unik, mereka mampu menyoroti isu yang tersisih daripada arus perdana serta membuka ruang kepada suara golongan terpinggir.

"Saya berharap agar PERTAMA terus menjadi pelopor dalam hal ini," katanya.

Dalam pada itu, Noraini turut menyentuh inisiatif kementeriannya dalam pembangunan industri berasaskan inovasi, termasuk penghasilan bahan api penerbangan mampan (SAF) daripada minyak masak terpakai.

Beliau berkata inisiatif berkenaan membuka peluang nilai tambah kepada sumber sedia ada selain menunjukkan keupayaan saintis tempatan dalam membangunkan teknologi berkaitan.

Permintaan terhadap SAF semakin meningkat termasuk bagi memenuhi keperluan pasaran antarabangsa, sekali gus membuka potensi baharu kepada industri negara.

-- BERNAMA



#wartawan wanita #teknologi #integriti #noraini ahmad